Assalamualaikum,
Ini adalah artikel pilihan saya yang ketiga. Hopefully sahabat-sahabat sudilah mencoret komen atau ulasan berkaitan artikel ini. Moga-moga kita mendapat manfaat daripada artikel ini dalam meneruskan perjuangan kita sebagai guru.
Secara ringkasnya artikel ini mengkaji perbandingan pencapaian Matematik di kalangan pelajar lemah setelah mengikuti kelas matematik berasaskan multimedia dan tradisional. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat peningkatan pencapaian Matematik di kalangan pelajar lemah setelah mengikuti kelas Matematik berasaskan multimedia dan tradisional. Peningkatan pencapaian Matematik bagi kedua-dua kumpulan pelajar lemah di dalam kelas Matematik berasaskan multimedia dan tradisional adalah munasabah, kerana sekurangnya-kurangya sedikit ilmu pengetahuan yang baru dipelajari telah diterima oleh pelajar lemah sepanjang pembelajaran berlaku.
Namun, peratusan peningkatan pencapaian Matematik yang diperoleh dalam kajian ini, berbeza dan perlu dibincangkan. Kajian mendapati bahawa peningkatan min pencapaian Matematik bagi pelajar di dalam kelas Matematik berasaskan multimedia adalah tinggi iaitu 14.80 peratus, manakala bagi pelajar di dalam kelas Matematik berasaskan tradisional hanyalah sebanyak 6.03 peratus sahaja. Ini bermakna peningkatan pencapaian Matematik pelajar berisiko lebih tinggi sebanyak 8.77 peratus di dalam kelas Matematik berasaskan multimedia berbanding tradisional.
Walaupun peningkatan peratusan pencapaian adalah tidak terlalu besar, namun ia berpadanan dengan tahap pencapaian akademik mereka yang terlalu rendah. Namun, setelah perbandingan antara kumpulan multimedia dan tradisional dilakukan, analisis statistik menunjukkan bahawa tiada perbezaan pencapaian Matematik yang wujud bagi kedua-dua kumpulan tersebut.
Hasil kajian juga menunjukkan bahawa terdapat peningkatan sikap pelajar lemah terhadap Matematik iaitu sebanyak 2.83 peratus setelah mengikuti kelas Matematik berasaskan multimedia. Sebaliknya, sikap pelajar lemah terhadap Matematik menurun sebanyak 1.38 peratus setelah mengikuti kelas Matematik berasaskan tradisional. Penurunan skor sikap Matematik ini mungkin disebabkan bahawa pengajaran berasaskan tradisional ini adalah satu kaedah pengajaran yang terlalu kerap atau biasa digunakan oleh guru-guru di sekolah dan bukanlah suatu perkara baru yang boleh merangsang dan menarik minat mereka untuk terus mempelajari Matematik. Namun, setelah perbandingan antara kumpulan multimedia dan tradisional dilakukan, analisis statistik juga menunjukkan bahawa tiada perbezaan sikap Matematik yang wujud bagi kedua-dua kumpulan tersebut.
Justeru, hasil kajian mengesahkan bahawa tiada perbezaan yang wujud sama ada dari aspek pencapaian dan sikap pelajar dalam mata pelajaran Matematik bagi kedua-dua kumpulan multimedia dan tradisional. Dapatan ini menunjukkan bahawa penggunaan multimedia tidak semestinya berkesan secara menyeluruh bagi segenap lapisan pelajar terutamanya pelajar berisiko yang terdiri daripada kelas aliran lemah seperti yang digembar gemburkan dalam kebanyakan kajian sebelum ini. Al-Mikhlafi (2006), menyatakan bahawa kesan penggunaan multimedia terhadap pembelajaran tidak semestinya berkesan sebagaimana yang diperoleh daripada hasil dapatan kajian-kajian yang lepas. Ini adalah kerana keberkesanannya juga bergantung kepada perisian multimedia itu sendiri, kumpulan pelajar yang menggunakannya, kaedah pengajaran (kreativiti guru dalam memberi penjelasan) dan tempoh penggunannya.
Walaupun tiada kesan positif yang wujud dalam kajian ini, penyelidik berpendapat bahawa terdapat beberapa isu yang perlu diberi perhatian serius dalam membuat kajian siasat (post moterm)
tentang mengapa dan kenapa pengajaran berasakan multimedia yang dianggap menyeronokkan dan dapat merangsangkan pembelajaran ini tidak mampu menyumbang kesan yang positif ke atas pembelajaran pelajar berisiko ini?
Untuk membaca artikel penuh klik pada tajuk utama atau http://pkukmweb.ukm.my/~jitm/pdf_text/05%20Azura.pdf